6 August 2009

Jika Kau Tahu (if you know)

Aku bertemu dengannya di sebuah kedai kopi lama di desa minang ini. Kerapkali orang memandang kami yang sedang berbual disalah sebuah meja yang ada di situ. Mungkin perbezaan dari segi gaya pertuturan kami ataupun orang-orang di sini memang suka memerhati perbualan orang lain. Atau mungkin kedudukan kami begitu hampir dengan kaki lima. Ah kataku dalam hati.

"Ah," katanya, "sialkan orang-orang itu", bila aku menyuarakan pandangan-pandangan yang ditujukan kepada kami.

"Mereka semua anti kuasa." ujarnya lagi.

Aku seperti selalu, pura-pura bingung dengan pandangan orang ramai dan kemudian menghadap apa jua yang ada di hadapanku. Dan buat masa ini di hadapanku adalah dia. Dia yang bercerita itu dan ini. Dia yang mengosongkan mindaku dari jeling pandang orang yang lalu lalang. Dia yang terlalu agung untuk diajak berbicara. Dia yang melontarkan pada ku buih-buih kisah. Dia yang kau tak perlu hidup bagi aku bercerita bersama dengannya.

"Jika kau tahu," tuturnya, dan aku tidak pula melihat mulutnya berbunga-bunga dan hidungnya keluar api yang menyambar makhluk hidup seperti aku yang selalu ku dengar dari cerita-cerita purbakala yang terkadang cerita-cerita purba itu datangnya dari negeri-negeri eropah. Sial, kataku pada cerita-cerita purba itu. Tetapi cerita sial itu pada pengetahuanku telah mendewasakan aku, kamu dan seluruh anak-anak hingusan di maya pada ini. Ah, kita semua telah ditipu.

"Jika kau tahu pasti", ditekannya kalimah pasti itu sambil jari-jemari digengam erat.

"pasti kau akan berlumba di atas bangunan setinggi beratus-ratus tingkat lalu beramai-ramai terjun ke bawah, menghentakkan kepala dahulu dari anggota badan yang lain, mengharap ubun-ubun hancur menyerpih dan urat-urat di dalam otak terburai memaliti segala-galanya." Dia menarik nafas.

Aku tersentak merasai gelombang tengkorak yang berkecai dan serpihan tadi terpelanting ke serata arah dengan seketul otak yang berselaput telah bersepai dan berselerakan ke sekelian sudut. Aku terpegun dengan warna merah darah yang telah diganti lendir-lendir putih.

"Tak cukup dengan itu," aku mendengar katanya sambil aku menahan nafas berberapa detik untuk menghindar dari bayangan hanyir.

"kau akan menggali sebuah lubang sebesar satu benua sedalam lautan dan di dalam lubang itu kau tanam berupa ranjau dari batang-batang besi sebesar jari pada setengah ketinggian lubang itu yang telah diruncingkan setajam mata pisau yang dihalakan tegak lalu kau beramai-ramai terjun dengan mata yang terbuka memandang hujung besi yang ditajamkan itu hingga mata-mata kamu ditusuk tembus besi tadi," Dia menggeleng-gelengkan kepala.

"dan kamu timpa-menimpa di atas besi tajam tadi sehingga orang yang paling bawah mencium dasar bumi dimana besi yang kamu tanam berceracak dibadannya yang padanya masih tersisa nyawa dan degup nadi."

Aku juga turut berbuat demikian, menggeleng-gelengkan kepala menahan ngeri tusukan besi menembusi segenap anggota badan, mata, mulut, leher, hidung dan ah! Sial, kataku. Peri sakitnya menjalar saat ini.

"Tidakkah itu kejam." Tukas ku. Dan aku memejamkan mata tidak dapat membayangi detik-detik tadi.

"Tidak!" Dia memekik padaku.

"Jika kau tahu kejamnya neraka!"

Dan aku ingin benar melolong dan memekik dari saat dia bercerita hingga kini.

*****

nota: terima kasih kepada saudara Sidra Kamar atas kesudiannya membenarkan gua mencetak semula hasil karya beliau. semoga menjadi ikhtibar kepada pembaca.

4 comments:

antusabun said...

emosi gila!!

mazru(9m2mzr) said...

huhuhu..akhirnye tepek menepek berlaku juge,minta kebenaran nak tepek kat blog koi..ok lulus!terima kasih..

FdausAmad said...

Gua gugup ni.

langkasuke said...

antusabun,
bab2 ni kene emosi sikit..

koi,
takde2, sape kate lulus?..

FdausAmad,
beramal lg beb..